Adakah badan anda terasa banyak angin? Masalah angin dalam badan ini semestinya membuatkan perut kita berasa tidak selesa, sehinggakan kembung. Walaupun rata-rata daripada orang ramai menyebutnya sebagai angin, masalah kesihatan ini sebenarnya berlaku akibat pengeluaran gas berlebihan dalam badan. Meskipun perkara ini agak memalukan bagi sesetengah orang, masalah angin dalam badan ini adalah normal untuk setiap lapisan umur. Malahan, untuk anda yang tidak mengetahuinya, manusia melepaskan gas antara 15 sehingga 40 kali sehari. Namun, jika gas dalam badan anda berlebihan, terdapat beberapa cara yang anda boleh praktikan untuk hilangkan angin dalam badan dengan berkesan.

Bagaimanakah Angin Atau Gas Dalam Badan Boleh Berlaku?

Apabila anda menelan makanan, air atau air liur, tanpa anda sedari, anda juga menelan sejumlah kecil udara, yang kemudiannya terkumpul dalam sistem pencernaan. Selain itu, gas ini juga boleh terkumpul apabila makanan anda dicerna. Manakala, gas berlebihan pula selalunya berlaku apabila makanan sukar dihadam dan banyak jumlah udara yang terkumpul. Badan akan cuba untuk menyingkirkan gas berlebihan ini dengan membuang angin atau sendawa. 

Tanda-tanda Angin Atau Gas Berlebihan Di Dalam Badan?

Photo by cottonbro on Pexels

Terdapat beberapa gejala yang menunjukkan bahawa terdapat gas berlebihan dalam uses anda. Antara tanda-tandanya ialah:

  • Kembung perut: Selalunya perut anda akan terasa kembung akibat gas sehingga menyebabkan sendawa
  • Sendawa: Gas yang dilepaskan melalui rongga mulut secara refleks
  • Perut meragam: Perkara ini berlaku akibat reaksi terhadap gas yang berlebihan sehingga menyebabkan ketidakselesaan

Bila Anda Perlu Berjumpa Dengan Doktor?

Walaupun angin berlebihan dalam usus adalah normal, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut jika keadaan anda tidak berubah. Jika anda alami simptom-simptom ini pastikan anda lakukan pemeriksaan kesihatan:

  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Tiada selera makan
  • Darah dalam tinja
  • Penurunan berat badan 
  • Gejala-gejala jangkitan seperti demam, lenguh badan dan muntah

Gejala-gejala tersebut boleh menunjukkan masalah kesihatan yang lain seperti irritable bowel syndrome (IBS).

Cara Hilangkan Angin Dalam Badan Yang Berkesan Dan Mudah

Makan Dalam Kuantiti Yang Kecil Tetapi Kerap

Photo by mentatdgt on Pexels

Walaupun anda harus menitikberatkan jenis makanan yang anda ambil, corak pemakanan anda juga penting. Bagi mereka yang selalu mengalami masalah angin dalam badan berlebihan, anda boleh mencuba mengambil jumlah makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap, berbanding mengutamakan tiga hidangan besar makanan sehari. Selain itu, anda juga harus mengunyah makanan secara perlahan untuk memudahkan proses pencernaan. 

Elakkan Makanan Dan Minuman Yang Menyebabkan Berlakunya Gas Berlebihan

Photo by Pixabay on Pexels

Jika anda sedang mencari cara untuk hilangkan angin dalam badan dengan berkesan, pastikan anda mengenal pasti makanan yang menyebabkan berlakunya gas berlebihan. Walaupun ianya agak berbeza bagi setiap orang, makanan seperti gula-gula getah, kacang, roti gandum, bijiran dan buah-buahan serta sayuran seperti bawang, bunga kobis, epal, brokoli dan pir dikatakan mengakibatkan pengeluaran gas berlebihan. Tambahan lagi, pastikan anda kurangkan produk tenusu dan minuman berkarbonat juga.

Minum Teh Pudina Dan Air Halia 

Photo by Mareefe on Pexels

Apabila perut anda berasa terlalu kembung, anda boleh mencuba minum secawan teh pudina untuk mengurangkan ketidakselesaan. Daun pudina diperkaya dengan menthol, ramuan utama yang bersifat antispasmodic yang boleh mengurangkan ketidakselesaan pada sistem penghadaman anda. Malahan, teh pudina juga boleh melegakan pedih ulu hati dan sakit perut akibat tindak balas daripada asid. 

Untuk mereka yang ingin mencuba minum air halia pula, anda hanya perlu hiris halia secara kecil dan masukkannya ke dalam gelas yang berisi air suam. Jika ingin lebih sedap, anda boleh campurkannya bersama madu atau lemon. Halia mengandungi serotonin yang berkesan membuang angin yang terkumpul di dalam usus anda secara mudah. 

Kurangkan Pengambilan Makanan Berminyak 

Photo by RODNAE Productions on Pexels

Jika anda gemar makanan yang bergoreng dan sering alami masalah perut kembung, sudah tiba masanya anda mengubah cara pemakanan anda. Makanan yang bergoreng dan berlemak memerlukan proses pencernaan yang lebih lama, oleh itu ianya membuatkan ketidakselesaan pada perut.

Hirup Sup Panas

Photo by Navada Ra on Pexels

Antara salah satu cara untuk hilangkan angin dalam badan dengan mudah adalah dengan menghirup sup panas. Selain mengurangkan ketidakselesaan pada perut, sup panas juga membantu menghilangkan kelesuan. Namun untuk kesan yang lebih efektif, pastikan juga sup tersebut tidak mengandungi ramuan yang menyebabkan gas berlebihan. Pendek kata sup jernih dengan bahan-bahan yang sedikit pun sudah mencukupi. 

Bersenam Dengan Kerap 

Gaya hidup yang sihat pastinya membantu mengurangkan pelbagai risiko penyakit dan juga gas yang terperangkap di dalam badan Terdapat pelbagai jenis senaman yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan gas berlebihan termasuk senaman yoga yang dipanggil Relieving Wind Pose. Pertama sekali, baring secara menelentang dan  gunakan kedua-dua belah tangan anda untuk bengkokkan lutut anda ke arah dada. Kemudian, rapatkan dahi anda ke arah kaki, seakan-akan posisi dalam regangan. Pastikan anda tahan posisi tersebut dalam beberapa saat dan lakukannya untuk bahagia kaki sebelah pula. Senaman ini bukan sahaja mudah untuk dilakukan, malahan ianya juga melancarkan pembuangan gas dalam badan.

Urutan Badan

Photo by Andrea Piacquadio on Pexels

Untuk mereka yang ingin mencuba cara untuk hilangkan angin dalam badan yang lebih tradisional, anda boleh cuba mengurut badan anda di spa atau dengan tukang urut yang profesional. Selain menyingkirkan angin berlebihan dalam badan, cara ini turut membantu melancarkan peredaran darah dan melegakan kelesuan pada badan. 

Jangan lupa untuk ikuti Beauty Insider di Instagram dan Facebook untuk sebarang informasi terkini.